Thursday 28 August 2014

niat

6 Ogos 2014

Sejak akhir-akhir ini, aku acap kali dikunjungi mimpi-mimpi yang seolah-olah bercerita kepada ku. Adakah ini suatu petanda bahawa ia datang sebagai ilham agar aku kembali menulis? Bukan niat ku untuk berhenti menulis tetapi aku tidak mampu membentuk keyakinan diri bahawa aku boleh berkarya. Aku tak yakin akan ada orang yang berminat untuk membelek karya ku nanti.

Ya. Aku tidak perlu menulis untuk orang lain menyukainya. Betulkan niat.
Tapi… aku masih tercari-cari karya bagaimana yang ingin aku ketengahkan, yang ingin aku rangkapkan dalam imej tulisan. Aku belum cukup ilmu untuk menyampaikan mesej dari hati ini ke hati pembaca. Takut tak sampai utusan kata ku itu. Lain jadinya nanti. Aku tertarik untuk membahaskan soal agama secara logik tetapi isu agama sangat sensitif untuk diketengahkan oleh insan yang kurang ilmu seperti aku. Meskipun setiap pilihan dalam hidup ini pasti ada risikonya, aku takut. Takut hati yang rapuh ini mudah pecah berderai andai terjadi sesuatu. Sungguh, aku paranoid. Ku akui. Aku takut akan kegagalan. Sangat takut. Kata orang “gagal sekali bukan bererti gagal selamanya”. Tapi, aku tak sanggup untuk gagal, walaupun sekali.  


Lihat. Berapa banyak alasan yang ingin aku persembahkan kerana takutkan kegagalan. Sampai bila? Sampai bila aku perlu membuang waktu untuk melenyapkan ketakutan yang tak wajar ini?  Ibarat pepatah “kalau tidak dipecahkan ruyung, bila akan dapat sagunya?”.  Tulislah. Walau apa pun keadaannya nanti. Tulislah.
Lagipun, aku rasa hal-hal agama aku akan catatkan pada blog sahaja. Bukan untuk dizahirkan dalam mana-mana kisah. Aku juga lebih selesa untuk menulis sesuatu dalam bentuk pandangan dari pelbagai aspek atau hanya pemerhatian zahirku sahaja. Amat sukar untukku mereka sebuah cerita yang tidak aku rasai, tidak aku jiwai memandangkan aku sudah lama tidak menulis puisi yang memerlukan sepenuh tumpuan hati nurani. Jadi, cukuplah jika hanya serangkap komentar dari insan kerdil ini yang ingin mengukir bisikan hati. 





Umi

4 OGOS 2014

Semalam aku berziarah ke rumah kenalan sempena Aidilfitri di FELDA kelahiranku. Aku ke rumah umi. Saat bersalaman dengannya, aku teringin sekali memeluk dan cium dia tapi entah kenapa anggota badan ku menolak untuk berbuat begitu. Lalu aku melepaskan peluang itu untuk merasai pelukan umi. Aku hanya duduk berdiam diri. Masih memikirkan kewajaran untuk aku memeluk umi. Kenapa hatiku sangat menginginkannya tetapi aku tak mampu melaksanakan kehendak itu? 

Hidangan di meja tidak melambai selera ku untuk menjamah walau secubit tetapi demi menjaga hati umi yang bersungguh-sungguh mempelawa aku makan, aku ambil juga sejenis kuih raya untuk dikunyah.

Setelah menjamah kuih yang terhidang, mata ku menangkap imej semangkuk besar mihun goreng. Rindunya aku. Teringin sekali lidah ini menikmati mihun goreng masakan umi. Meskipun yang terhidang itu mungkin buatan menantunya, tidak mengapalah. Asalkan masih masakan insan di sekeliling umi. Aku menikmati rasanya di setiap suapan. Dari sisi mata aku perasan umi memerhatikan setiap gerak-geri ku. Entah apa yang difikirkannya.

Filem-filem memori aku bersama umi membuka layar di minda bersama setiap suapan. Alangkah indahnya saat itu. Tetapi ingatan zaman kanak-kanak terlalu kabur bagi ku. Aku yakin umi pasti mengingati lebih banyak memorinya ketika bersama ku. Alangkah indah jika aku dapat mendengar semua kisah itu. Aku mahu tinggal di situ sehari dua untuk menjaga umi lalu mendengar kisah-kisahnya tetapi aku takut aku gagal menjaga umi malah menyusahkan pula nanti. Lagipun tanggungjawab ku pada keluarga masih belum sempurna.

Aku berehat sebentar sesudah menghabiskan mihun tadi. Tersentak sayu hatiku tatkala melihat keadaan umi yang hanya terduduk lemah di atas kerusi roda. Suaranya juga kurang jelas apabila dia mempelawa aku tadi. Tidak seperti umi yang aku kenal dahulu. Dia yang tangkas melakukan kerja-kerja pengurusan sekolah, berkejar-kejar dengan murid-muridnya yang tidak pernah tahu duduk diam, suaranya lantang mengajar setiap huruf serta nombor agar mereka jadi manusia berpelajaran dan dia yang percaya dengan setiap kebolehan aku. Tanpa dia, tak mungkin aku berjaya seperti ini. Dia yang memperkenalkan abjad jawi dan rumi padaku, dia yang mencungkil bakat-bakat ku, dia menanam rasa yakin dalam diriku untuk berani di atas pentas, dia mengajar ku untuk menjadi ketua di kalangan rakan-rakan ku, dan dia juga yang memujuk ku jika menangis setelah bergaduh dengan kawan-kawan sepermainan ku. “Terima kasih umi sebab membentuk saya dengan baik.”

Tetapi, tidak lama selepas itu, umi menyuruh ku makan lagi. Aku menolaknya dengan mengatakan aku sudah makan. Tidak sampai lima minit selepas itu, umi memujuk ku untuk makan lagi. Lirih suaranya. Aku akur. Bimbang juga jika hatinya terguris dengan penolakan ku.

Sewaktu hendak pulang, aku bersalaman lagi dengan umi dan sekali lagi peluang itu ku lepaskan. Meskipun mungkin ini peluang terakhir, aku tak mampu melaksanakan tuntutan hati nan satu ini. Ruginya. Hati kecil ku mengharapkan masih ada ruang, masa dan kekuatan untuk aku merasai pelukan insan yang ku sayang itu. Ingin ku bisik di telinganya rasa terima kasih yang tak terhingga. Tak dapat aku membayar jasa-jasanya walau dengan wang ringgit. “Umi, didikan yang umi bagi sudah sempurna untuk saya menjadi seorang manusia berguna. Andai umi dapat melihat kecacatan yang saya sembunyikan dari mata orang lain, itu bukan salah umi. Saya yang salah kerana mementingkan nafsu. Maafkan saya,”.


Detik ini aku belajar satu perkara. Tugas ibu bapa dan guru tidak banyak bezanya. Malah ibu bapa lebih banyak berkorban dalam mendidik kita. Oleh itu, aku perlu berbakti pada mereka sebelum aku berbakti pada guru ku. Guru terlihat sempurna sedangkan dia juga manusia kerana kita bersamanya hanya seketika. Tetapi kekurangan ibu dan bapa, kita pertikaikan sedangkan mereka juga manusia kerana mereka sentiasa bersama kita.    


 

ALL RIGHT RESERVED BY NAJWA ZAHID|THIS BLOG IS DESIGN BY RRAI