Friday 3 October 2014

luar biasa manusia

pelajar nerd?
asyik menghadap buku sahaja?
tidak aktif ko-kurikulum?
tidak mempunyai softskills?

BENARKAH?

manusia itu dianugerahkan dengan pelbagai kebolehan dan sudah semestinya mereka mempunyai minat masing-masing. kalau dipaksa seseorang yang cenderung kepada jahitan dan sulaman melakar seni bina sebuah rumah, manakan mungkin sesempurna rekaan orang yang meminati seni bina.
jangan dipaku minat seseorang mengikut sistem buatan manusia. jika di universiti, walau tidak dipaksa untuk menyertai pelbagai aktiviti, mahasiswa pasti tidak menghadap buku 24/7. mereka akan cari sesuatu yang digemari sebagai aktiviti. juga, di zaman kanak-kanak, jangan didesak hati anak kecil untuk mengikut kehendak hati orang tua. ya, orang tua mana yang inginkan anaknya gagal, tidak punya masa depan dan sebagainya. tetapi, ada cara lain selain memaksa dan mendesak.

dunia kini, sering dikhabarkan ibu bapa membanding-bandingkan keputusan anak-anak mereka dengan jiran tetangga, rakan sekerja juga sanak saudara. pasti mereka mahu anak-anak rasa tercabar dan meningkatkan semangat persaingan sihat mereka agar lebih bersungguh-sungguh dalam pelajaran. tetapi, dari satu sudut lainnya, anak-anak rasa tertekan dan semua itu mengganggu emosi mereka. sifat tidak suka dibanding-bandingkan pasti ada. mereka merasa, setakat itu sahaja kemampuan mereka, usah dipaksa lagi. ada juga anak yang berasa malu dengan keputusan mereka yang rendah bila dicanang pada jiran sekampung. ada yang berasa tinggi diri apabila berjaya dan diraikan berlebih-lebihan. tidak salah usaha meningkatkan semangat dalam diri anak-anak tetapi harus diingat juga, satu maklumat akan mendatangkan penerimaan yang berbeza mengikut sifat masing-masing.

anak yang tidak meminati bidang akademik tidak semestinya kurang bijak. mereka ada keistimewaan lain. berbincanglah. kenali kehendak dan skill mereka. pasti kita akan terkejut bila mengetahuinya. sedangkan robot dicipta untuk pelbagai guna. inikan pula manusia. mengapa perlu dibentuk dengan rupa dan saiz yang sama? kelainan membuatkan kita istimewa.

jangan malu andai anak hanya tahu membaiki jam tangan sedangkan buta ilmu sains dan matematik, jangan dihina dia yang tahu berkebun di belakang rumah tetapi malas mendalami pelajaran akaun, jangan dipandang enteng mereka yang suka ilmu-ilmu persilatan walhal kelam subjek geografi.

manusia itu tidak sempurna tetapi istimewa. tanpa ijazah seseorang itu boleh menjadi usahawan berjaya, dan tanpa ijazah juga seseorang itu menadah berduka. siapa yang memandu arah, siapa yang mengemudi, itu soalnya. kenali diri, penuhkan yang lompong hari demi hari, moga jitu peribadi, membantu membangun ibu pertiwi.

No comments:

Post a Comment

sangat dialu-alukan komen yang positif dan membina =D

 

ALL RIGHT RESERVED BY NAJWA ZAHID|THIS BLOG IS DESIGN BY RRAI