Monday 28 October 2013

Kaca Pantulan

Bidang mistik,hantu,paranormal,jin,halusinasi,makhluk halus dan saka menjadi permainan dan medan sumber pendapatan pada masa kini. Hantu Kapcai, KL Zombi, Zombi Kampung Pisang dan Hantu Kak Limah Balik Rumah merupakan model filem bergenre seram yang turut menerapkan unsur-unsur komedi di dalamnya. Cerita sedemikian semakin mendapat perhatian masyarakat kita lalu mendatangkan hasil yang lumayan kepada industri perfileman negara. Tetapi, seeloknya usahlah dijemput sesuatu yang bukan dari dunia kehidupan kita. Saya perhatikan segelintir dokumentari mistik seolah-olah mencari makhluk tersebut. Mereka menerjah rumah-rumah usang, hutan belantara, merakam gambarnya dari pelbagai dimensi Mengapa?
Di celahan entri ini, bukanlah niat saya untuk membanting minda mengkritik perkara tersebut. Saya hanya ingin kaitkan dengan apa yang akan saya ceritakan mengenai pengalaman saya suatu masa dahulu.

Secara amnya,kanak-kanak mempunyai daya ingatan yang sangat hebat seolah-olah mereka menyerap setiap perkara yang dilihat dan didengari sekelilingnya. Bahkan saya mengalaminya lalu memberikan implikasi kepada proses perkembangan kehidupan saya. Sewaktu berusia lingkungan empat atau lima tahun,saya sudah terdedah kepada roman-roman juga filem seram mengenai langsuir, pocong dan pelbagai generasi hantu yang lain lalu membentuk satu tabiat dalam diri saya,takut pada cermin. Tidak tersimpan dalam kod memori minda saya filem apakah yang menyebabkan saya jadi penakut sebegitu tetapi masih dapat dilihat hingga kini majoriti ceritera mistik menjadikan cermin sebagai elemen utama untuk menonjolkan bayangan makhluk berwajah buruk dan sebagainya. Sikap anti pada kaca pantulan itu berterusan hingga saya berumur 15 tahun. Ketika itu barulah emak dibenarkan meletak cermin di kamar peraduan anak gadisnya ini sewaktu saya sudah dapat membezakan realiti dan imaginasi atas kelainan yang saya miliki.

   

Thursday 24 October 2013

Takdir Terpesong

Meneroka bidang genetik bukanlah impian zaman kanak-kanakku malah aku tidak pernah tahu wujudnya istilah 'genetik' suatu masa dulu.

"Nanti awak jadi doktor ya,Najwa. Boleh ubatkan mata Sir ni," pesanan luhur guru Bahasa Inggerisku, Sir Azman telah berjaya menyemai pokok cita-cita di benakku 7 tahun yang lalu untuk menjadi seorang pakar mata. Ketika itu dapat kulihat selaput matanya rosak lalu menyentap pergi sedikit demi sedikit nikmat penglihatannyanya.

Pokok impianku hidup subur hinggalah aku bertemu matapelajaran Biologi semasa di Tingkatan 4. Tanpa disedari, fakta serta istilah yang kupelajari telah menghakis semangatku untuk bergelar doktor lalu meracun dan melayukan tanamanku. Tetapi aku tidak berundur sebelum berperang. Ku rawat minda juga hati untuk menghadapi sel, enzim, organ, dan saraf sehinggalah tamat SPM. Malangnya, nasib tidak memenangkan aku. Aku gagal untuk memperoleh A bagi Biologi lalu ku cantas impian sebagai pakar mata walaupun aku sangat menginginkan diri ini berdiri megah seperti Prof.Dr.Muhaya.
Maafkan saya,Sir.

Setelah itu, aku melayang tanpa matlamat. Bila ditanya apakah cita-cita dan hala tujuku nanti? Aku hanya tersenyum kerana belum dilakarkan lagi arah destinasiku kelak.

Surat tawaran ke universiti menjengah di skrin komputer riba. Hati melonjak riang apabila aku diterima masuk ke UMP kerana abangku juga penuntut di situ tetapi tiba-tiba cerah bertukar mendung. Kejuruteraan awam. Itulah jurusan yang aku perlu telaah di sana. Lalu, aku padamkan saja niat bagi mengikut jejak abang ke UMP.

Tawaran ke matrikulasi ku terima tanpa perasaan. Biar berjuta orang bilang belajar di matrikulasi ini mencabar, susah untuk skor, masa teramat padat dan pelbagai lagi perspektif negatif yang lain tapi aku rela. Di Kolej Matrikulasi Pahang (KMPh) aku buktikan semua desas desus keladak itu hanyalah fakta tanpa bukti. Tanpa cita-cita untuk bergelar jurutera,doktor atau sebagainya, bolehkah kita berjaya? Jawabku, boleh. Teorinya, lakukan apa sahaja yang terhidang di hadapan mata sebaik mungkin. Alhamdulillah, keputusan peperiksaanku di KMPh melayakkan aku diterima masuk ke UKM dalam bidang genetik.

"Kenapa pilih genetik? Ambillah medik, boleh jadi doktor," seorang kaunselor mempersoalkan keputusanku. Pendapatnya ku dengar tanpa berhasrat untuk mengubah niat di hati. Aku tahu dia inginkan yang terbaik untukku. Tapi aku juga tahu setinggi mana keupayaan diri serta apa tujuanku memilih 'genetik'.

DNA
genetik keluarga

Thursday 17 October 2013

sakaratulmaut

Selama 19 tahun aku menghuni planet hijau biru ini, baru semalam aku diberi peluang oleh Ilahi untuk melihat seekor haiwan dikorbankan. Tak lelah bibir 'pak imam' memberi arahan itu dan ini kepada anaknya yang mengetuai proses penyembelihan tersebut. Sesetengah hanya memandang dari jauh dan ramai juga yang tidak melepaskan peluang untuk merakamkan detik-detik bermakna itu termasuklah aku. Mataku terpanah pada parang di leher lembu bertuah nun di situ. Jelas di penglihatan,kulit terbelah sebelum mata itu menjejak urat mari' juga halkum lalu darah berlumba-lumba menyembah tanah. Teriakannya menusuk hatiku. Tubuh ia menggelupur menggambarkan seksanya menemui kematian. Simpati tak menjengah pintu hatiku sebaliknya akal ini membayangkan bagaimana giliran aku nanti menghadapi sakaratulmaut. Sesungguhnya pintu taubat telah tertutup saat nyawa mengetuk kerongkong. Ayuh, taubatan nasuha. Ya Allah, hanya keampunan yang mampu ku tagih dari-Mu.

Tuesday 15 October 2013

betulkan niat

Saban tahun umat Islam meraikan dua perayaan penting iaitu Aidilfitri dan Aidiladha. Berdasarkan hadis (terjemahan) yang diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Anas r.a, mafhumnya "Rasulullah S.A.W datang ke Madinah, sedangkan mereka sibuk bergembira selama dua hari. Maka Rasulullah S.A.W bertanya : Hari apakah dua hari ini? Mereka menjawab: Kami biasa bergembira selama dua hari pada zaman jahiliah. Kemudian Rasulullah S.A.W bersabda: Sesungguhnya Allah S.W.T telah menggantikannya dengan hari yang lebih baik daripada dua hari itu iaitu Aidilfitri dan Aidiladha." (diriwayatkan Imam Abu Daud dan an-Nasai daripada Anas).

Di hari barakah ini, aku mencuri masa sejenak untuk menghayati watak-watak di sekitarku. Tetapi, semakin ku renung dalam kehidupan masyarakat dewasa ini, mereka seolah-olah menyambutnya tanpa jiwa, pengertian serta penghayatan. Aidilfitri yang sepatutnya menjadi hari kemenangan bagi umat Islam setelah menempuh Ramadan manakala Aidiladha merakam erti pengorbanan dan ketaatan dalam menunaikan perintah-Nya terlihat seolah-olah jasad tanpa roh. Adakah sama adat dan ibadat?

Alangkah rugi jika amalan yang dijanjikan pahala berlipat kali ganda itu hanya dilaksanakan sekadar ikut-ikutan, tidak diiringi dengan nawaitu kerana Allah. Malah, ia semakin sia-sia jika perintah tersebut diselitkan rasa riak,takbur dan ujub. Sebagai pencerahan, kita mengenakan baju fesyen terkini yang kelihatan mewah di hari lebaran. Terdetik di hati alangkah cantiknya diri ini lalu bermegah-megah dengan apa yang dimiliki. Bila nafsu menguasai, sunnatullah tertinggal di sisi. Justeru, luruskan niat dalam beribadah duhai teman.


rehat minda

"Masa berjauhan apa nan dikenang,bila difahamkan itulah sayang.."

"Ani! Angkat jemuran. Hujan dah turun.."

"Hai mambang tanah, mambang air, mambang api, mambang angin, mambang berasal dari gunung si mambang. Berdampinglah denganku wahai si mambang. hanya itulah pesanku mambang"

"Harta ini bukan kau yang punya, Ahmad Albab yang punya,"

Lagu,skrip,jampi dan sumpahan tersebut masih aktif berlegar-legar di benakku. Tidak pernah terdetik rasa jemu tiap kali menonton karya seniman agung yang ku sanjung ini. Adik-beradikku juga menjadi peminat setia Allahyarham Tan Sri P.Ramlee hingga mereka remaja. Filem Do Re Mi, Bujang Lapuk, serta Labu Labi menjadi koleksi di komputer riba mereka. Mungkin kalian juga begitu.

Tetapi pernahkah kita hayati pahit,jerih,penat juga lelahnya beliau mempertahankan seni filem melayu?
Di sini saya sertakan dokumentari mengenai suka dan duka Allahyarham sewaktu beliau berkarya.


Rehatkan minda anda dan dapatkan informasi!! 


Tuesday 8 October 2013

Aku perlukan perwira

Tika ini cahaya matahari kelihatan berbilah-bilah di celahan tingkap. Aku hanya menjenguk apa khabarnya angin di luar lalu di danau mataku terarca imej teman-teman yang bersedia menongkah dugaan hari ini. Seperti kebiasaannya, benakku ditimbuni ayat untuk dijadikan entri kali ini.
6 Oktober 2013 aku mendapat informasi yang menjemput rasa syukur dari kolam hatiku. Balu Allahyarham ASP Zulkifli bin Mamat telah selamat melahirkan seorang hero. Alangkah beruntungnya kita, pejuang Lahad Datu meninggalkan seorang bakal perwira. Berantai doa dikalung rakyat Malaysia semoga langkah bapanya menjadi ikutan. Hatiku turut berbisik mengirimkan pesanan buat 'adik'.

Tiba-tiba jemalaku didatangi segugus persoalan. Sampai bila keamanan ini akan berkekalan? Esok, lusa atau sepuluh tahun lagi kita yang tentukan. Semakin ku renung nasib tanah kita, semakin aku lihat kedaulatan yang terapung ternganga. Imaginasiku membelah kerelaan hati. Terbayang olehku tanah kita menadah bantuan dan kita bukan lagi tuan. Nauzubillah.

Dari tinggiku separas pinggang bonda, benih patriotik subur dalam jiwa. Darahku berkobar-kobar setiap kali datangnya sambutan ambang merdeka. Acap kali teman seperjuangan menyindir mengata semangatku tapi aku adalah aku. Sukar ku bendung rasa ini kerana kami sebati juga sejiwa.

Di sini ku sertakan lagu dalam Bahasa Inggeris yang melaungkan bisikan hati ini bahawa negara perlukan perwira yang sentiasa bersiap sedia dan bukan hanya pandai menutur kata sehingga bergegar dewan samudera.




Sunday 6 October 2013

Tabung ilmu

Ingin aku khabarkan pada semua, aku ternanti-nanti kapan tabungku akan terisi. Dahulu aku tertanya-tanya tanpa usaha untuk mencari apa yang aku inginkan. Kini ia terhidang gah di hapadan mata. Tegakah aku membiarkannya?
Pagi tidak pernah sunyi dengan dugaan tapi Muslimin Muslimat perlu kuat menangkis hembusan syaitan demi menegakkan perintah Tuhan. Begitu juga aku.
Setelah doa Subuh ku pohon, tabung bersiap siaga untuk terisi. Sepuluh jari melangkah bertemankan tawakal menuju alam asing yang menjadikan aku objek hitam di tengah-tengah kemilau gemerlapan. Mampukah aku berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan mereka? Hanya itu yang menjadi persoalan di benakku.
Input ilmiah ku kutip satu persatu tanpa meninggalkan walau secebis pun sisanya kerana aku dahagakan 'ilm' bagi memenuhi tabung otakku. Di taman itu, bakat, sumber dan perspektif dikisar lalu diadun membentuk azam baru.
Tabungku sendat dengan informasi yang masih bersinar tanpa karat. Output, idea, cadangan serta rangka ayat berterabur keluar dari tabung. Aku hanya perlu atur sinergi antara strategi dan kegigihan sebelum dikirim ke bank dalam imej blog dihiasi abjad untuk disimpan sebagai pelaburan masa depan.

*ilham sewaktu melangkah pulang dari kelas Penulisan Kreatif, 3 Oktober 2013.

Sebelum entri kali ini dinoktahkan, hayatilah nada dan mesej dari dua buah lagu ini.



LAGU YANG MEMBAKAR SEMANGAT SEMASA ZAMAN KANAK-KANAKKU

 

BAIT-BAIT KATA YANG MENJADI OBOR KEKUATAN DI ERA REMAJA

Wednesday 2 October 2013

Impian Buat Ibu

"Kakak buat apa ni?" suara yang mendodoi tidurku menyapa lembut.
   Tapak tangan keibuannya membelai lembut rambutku. Masih tak lekang senyuman dari bibirnya menanti jawapanku yang sedang asyik bermain dengan jarum dan benang. Dia bersimpuh di sisiku.
"Kakak nak jahit baju anak patung," jawabku ringkas.
   Jari jemari halusku terkial-kial mengemudi jarum di atas lembaran kain perca biru itu. Kain,jarum,benang dan gunting ku ambil dari simpanan emak semata-mata untuk melihat patung kura-kura ku mempunyai baju seperti aku.
"Cantiknya kakak jahit. Belajar dari mana?" pujian diberi oleh si ibu menyegarkan bunga di taman hatiku.
"Kakak selalu nampak mak jahit baju. Betul ke cantik mak?" soalku kembali inginkan kepastian.
   Mak menganggukkan kepalanya sambil tersenyum. Aku semakin bersemangat untuk menghasilkan rekaanku.
"Hati-hati guna jarum tu," pesan mak.
   Matanya masih pegun melihat kerjaku. Barangkali risau aku tercedera.
"Okay,mak. Kakak kan dah besar," kataku bangga kerana tinggal beberapa hari lagi aku akan menjejakkan kaki ke sekolah rendah pula.
"Bila kakak dah besar nanti kakak nak jadi tukang jahit ke?" mak masih ingin berbual denganku.
   Aku terdiam. Neuron otak kanak-kanakku semakin aktif mencari jawapan yang sesuai.
"Taklah," gelengku lalu meneruskan jahitan.
   Dahi emak berkerut untuk memahami maksudku.
"Bila dah besar kakak nak jahitkan baju untuk mak pula. Mak dah banyak jahitkan baju kakak,"sambungku lagi lalu riba wanita agung itu menjadi persinggahan tubuhku.
   Mak mendakapku erat.


"Hoi, berangan!" sergah Adila.
   Lamunanku tersentak dari kotak ingatan tetapi hangatnya dakapan seorang ibu masih terasa. Aku hanya tersenyum. Apabila melihat hasil jahitanku hari ini, aku tahu cita-cita zaman kanak-kanakku masih belum tertunai.




    Aktiviti Bicara Siswa: Belajar Jahitan Asas
    27 September 2013
                                                                                                                   

 

ALL RIGHT RESERVED BY NAJWA ZAHID|THIS BLOG IS DESIGN BY RRAI