Thursday 24 October 2013

Takdir Terpesong

Meneroka bidang genetik bukanlah impian zaman kanak-kanakku malah aku tidak pernah tahu wujudnya istilah 'genetik' suatu masa dulu.

"Nanti awak jadi doktor ya,Najwa. Boleh ubatkan mata Sir ni," pesanan luhur guru Bahasa Inggerisku, Sir Azman telah berjaya menyemai pokok cita-cita di benakku 7 tahun yang lalu untuk menjadi seorang pakar mata. Ketika itu dapat kulihat selaput matanya rosak lalu menyentap pergi sedikit demi sedikit nikmat penglihatannyanya.

Pokok impianku hidup subur hinggalah aku bertemu matapelajaran Biologi semasa di Tingkatan 4. Tanpa disedari, fakta serta istilah yang kupelajari telah menghakis semangatku untuk bergelar doktor lalu meracun dan melayukan tanamanku. Tetapi aku tidak berundur sebelum berperang. Ku rawat minda juga hati untuk menghadapi sel, enzim, organ, dan saraf sehinggalah tamat SPM. Malangnya, nasib tidak memenangkan aku. Aku gagal untuk memperoleh A bagi Biologi lalu ku cantas impian sebagai pakar mata walaupun aku sangat menginginkan diri ini berdiri megah seperti Prof.Dr.Muhaya.
Maafkan saya,Sir.

Setelah itu, aku melayang tanpa matlamat. Bila ditanya apakah cita-cita dan hala tujuku nanti? Aku hanya tersenyum kerana belum dilakarkan lagi arah destinasiku kelak.

Surat tawaran ke universiti menjengah di skrin komputer riba. Hati melonjak riang apabila aku diterima masuk ke UMP kerana abangku juga penuntut di situ tetapi tiba-tiba cerah bertukar mendung. Kejuruteraan awam. Itulah jurusan yang aku perlu telaah di sana. Lalu, aku padamkan saja niat bagi mengikut jejak abang ke UMP.

Tawaran ke matrikulasi ku terima tanpa perasaan. Biar berjuta orang bilang belajar di matrikulasi ini mencabar, susah untuk skor, masa teramat padat dan pelbagai lagi perspektif negatif yang lain tapi aku rela. Di Kolej Matrikulasi Pahang (KMPh) aku buktikan semua desas desus keladak itu hanyalah fakta tanpa bukti. Tanpa cita-cita untuk bergelar jurutera,doktor atau sebagainya, bolehkah kita berjaya? Jawabku, boleh. Teorinya, lakukan apa sahaja yang terhidang di hadapan mata sebaik mungkin. Alhamdulillah, keputusan peperiksaanku di KMPh melayakkan aku diterima masuk ke UKM dalam bidang genetik.

"Kenapa pilih genetik? Ambillah medik, boleh jadi doktor," seorang kaunselor mempersoalkan keputusanku. Pendapatnya ku dengar tanpa berhasrat untuk mengubah niat di hati. Aku tahu dia inginkan yang terbaik untukku. Tapi aku juga tahu setinggi mana keupayaan diri serta apa tujuanku memilih 'genetik'.

DNA
genetik keluarga

1 comment:

sangat dialu-alukan komen yang positif dan membina =D

 

ALL RIGHT RESERVED BY NAJWA ZAHID|THIS BLOG IS DESIGN BY RRAI